Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ditubuhkan sebagai pelengkap bagi menjayakan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Secara amnya, Dasar ini bertujuan untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif dan lestari yang dikehendaki oleh masyarakat yang mementingkan pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan awam.


Perbadanan ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 673). Perbadanan secara rasminya telah ditubuhkan pada 1 Jun 2008 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Ia mempunyai kuasa untuk mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Peranan Perbadanan adalah untuk memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih efisien, bersepadu di samping memberikan kepuasan yang lebih baik kepada pengguna dari segi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.